Thursday, April 30, 2009

Tiada air mani keluar apabila ejakulasi


SAYA pelik dengan masalah terbaru yang dialami setiap kali melakukan hubungan seks dengan isteri. Saya mencapai klimaks normal seperti lelaki lain tetapi apa yang membimbangkan saya ialah apabila ejakulasi, tiada setitispun air mani keluar. Hanya cecair jernih dan likat seperti air mazi. Cecair ini juga hanya meleleh dan sedikit. Apakah punca masalah ini dan adakah ini menyukarkan saya mendapat zuriat?

OD, Ampang

SAUDARA mungkin mengalami masalah retrograde ejaculation atau anejaculation. Masalah retrograde ejaculation berlaku apabila air mani akan masuk ke dalam pundi kencing semasa ejakulasi. Ini berlaku apabila otot yang mengawal pundi kencing gagal mengecut semasa ejakulasi. Pesakit yang menghadapi masalah ini akan merasa orgasma seperti biasa dan sensasi pancutan tetapi air mani tidak keluar.

Semasa membuang air kecil, air kencing akan menjadi keruh disebabkan oleh bercampur dengan air mani. Ada pelbagai punca terjadinya masalah ini. Ia sering berlaku selepas pembedahan ke atas kelenjar prostat. Penyakit kencing manis juga boleh membawa kepada masalah ini. Sebab lain termasuk kecederaan saraf spinal atau pembedahan ke atas tulang belakang dan saraf spinal, serta pengambilan pelbagai ubat yang boleh menjejaskan fungsi otot pengawal pundi kencing.

Masalah anejaculation pula berlaku apabila tidak ada sensasi pengeluaran air mani walaupun seseorang mengalami orgasm. Ia boleh berpunca dari masalah psikologi seperti tekanan, konflik rumah tangga ataupun disebabkan oleh penyumbatan saluran pembukaan air mani. Ada pelbagai jenis rawatan mengatasi masalah ini bergantung kepada punca.

Ubat seperti imipramine boleh digunakan. Jika berlaku penyumbatan saluran air mani, rawatan secara pembedahan boleh dibuat. Rawatan kaunseling dan psikologi boleh diberi kepada pesakit yang mengalami anejaculation akibat masalah psikologi. Jika saudara mengalami masalah retrograde ejaculation, adalah sukar bagi saudara mendapatkan zuriat dengan cara normal. Apa yang dilakukan adalah pakar akan cuba mendapatkan sampel air mani di dalam air kencing atau dengan cara mendapatkan mani terus dari buah zakar dan kemudian melakukan proses persenyawaan melalui kaedah assisted reproduction.

0 comments on "Tiada air mani keluar apabila ejakulasi"

 

SENSA AYUZIP Copyright 2008 Shoppaholic Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez