Saturday, April 25, 2009

Teman wanita tipu


SAYA bercinta dengan gadis yang bekerja di klinik panel syarikat saya sejak dua tahun lalu. Dia tinggal di asrama bersama kawan tempat kerjanya dan kami merancang bertunang pada Jun depan.

Sepanjang menjalin cinta dengan dia, alhamdulillah tiada perkara tak elok berlaku, tapi kebelakangan ini dia mula pandai menipu saya dan selalu keluar malam dengan kawannya.

Nyata dia banyak terpengaruh dengan kawan seasramanya. Dia sudah banyak kali ‘kantoi’ dengan perbuatannya menipu saya, tetapi saya tetap maafkan dia. Setiap hari saya SMS dan hubungi dia.

Namun dia masih suka menipu saya. Saya sedih mengenangkan perbuatannya. Saya nasihatkan dia supaya berterus terang dan jangan tipu saya, tapi dia tetap menipu. Saya tak tahu apa lagi nak buat.

Keluarga dia di kampung pesan pada saya supaya jaga dia baik-baik. Mereka tak suka dia keluar malam tapi mereka tak tahu itulah yang kekasih saya sering lakukan sekarang. Apa patut saya buat untuk mengubah sikap kekasih saya supaya hubungan kami baik semula?

TERTEKAN

Jujur dan setia adalah sifat yang wajib ada pada mana-mana insan yang ingin bercinta, apatah lagi jika percintaan itu berjaya diteruskan sehingga ke alam perkahwinan. Jika suami atau isteri tidak jujur dan setia, akan porak perandalah rumah tangga.

Malangnya, sifat jujur itu kini tiada pada tunang saudara. Jadi, sudah tentu hubungan anda berdua bermasalah. Selagi masalah itu tidak dapat diatasi, sepatutnya perkahwinan anda berdua tidak boleh diteruskan.

Bukan apa, Dang Setia percaya jika hendak diteruskan, saudara pun akan berasa was-was dan tidak sedap hati. Jadi, langkah terbaik ialah atasi dulu masalah ini awal-awal.

Oleh itu, yang perlu ada pada saudara sekarang ialah keberanian dan ketegasan. Saudara perlu berani berbincang hal ini secara tegas dengan kekasih. Beri dia satu jangka masa untuk dia berubah.

Jika dia gagal mengubah sikap atau masih gagal meyakinkan saudara mengenai tahap kejujurannya, saudara perlu berani untuk menamatkan hubungan dengannya.

Keberanian dan ketegasan saudara tidak boleh disalah anggap sebagai sesuatu yang keterlaluan atau mementingkan diri. Ini kerana dalam percintaan, apatah lagi perkahwinan, perlu ada pengorbanan dan tolak ansur.

Demi kebaikan bersama, setiap pasangan perlu bersedia mengubah sikap jika ia boleh memudaratkan hubungan. Perubahan bukan hanya oleh tunang, tetapi juga pada diri saudara jika ada sikap saudara yang negatif dan tidak sepatutnya.

Prinsipnya mudah saja. Untuk berkahwin, kita tak boleh berperangai seperti orang bujang. Jika ada sikap kita yang pasangan kita tak suka, kita kena buang sikap itu dan pasangan kita juga kena berbuat demikian.

Ini yang perlu saudara lakukan jika tidak mahu timbul masalah pada masa depan. Ini kerana, bagi Dang Setia, jika awal-awal lagi calon pasangan hidup kita tidak jujur dan tidak menghormati kita, dia sebenarnya tidak layak menjadi pasangan hidup kita.

Itu pendapat dan pendirian Dang Setia, namun segala-galanya terpulang kepada saudara sama ada berani dan mampu melakukannya atau sayang mengaburi mata.

serta pemikiran saudara, menyebabkan saudara sanggup menerima dia, biarpun dalam keadaan berisiko.

0 comments on "Teman wanita tipu"

 

SENSA AYUZIP Copyright 2008 Shoppaholic Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez