Tuesday, April 14, 2009

Berzina Demi Balas Dendam Terhadap Suami


Selalunya penyesalan datang bila merasa diri bersalah. Namun ia juga bukan satu titik ukuran bahawa kesalahan itu tidak dimaafkan Allah kecuali bertaubat sepenuhnya. Minggu ini, kita akan berkongsi masalah yang dihadapi seorang isteri yang telah melakukan kesilapan hanya kerana tertekan dengan sikap suaminya yang berkahwin tanpa pengetahuannya. Dihantui perasaan bersalah, dia meminta pandangan bagaimana mahu bertaubat sekali gus membina semula keyakinan diri apabila suaminya berjanji akan berlaku adil dalam rumah tangga mereka. Biarlah saya berkongsi masalah yang saya hadapi ini.

Semoga dengan luahan ini, ia dapat meringankan bebanan yang semakin sarat bersarang di kepala. Saya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan berusia dalam lingkungan 20-an. Boleh dikatakan, masalah yang saya hadapi ini terlalu berat dan ia pasti akan menghantui hidup saya sepanjang hayat jika tidak menemui jalan penyelesaiannya. Dahulu rumah tangga yang saya bina tidak mempunyai masalah. Sekecil mana pun masalah kami pasti dapat menyelesaikannya sebaik mungkin.

Namun segala-galanya berubah sekelip mata sejak suami saya ditimpa kemalangan jalan raya. Segala-galanya terbongkar dan di situ jugalah peristiwa itu merubah diri saya dan juga kehidupan kami. Tanpa pengetahuan saya, suami sebenarnya telah berkahwin lain pada saat usia perkahwinan kami terlalu awal yakni selepas kami baru empat tahun mendirikan rumah tangga.

Rahsia suami terbongkar, bila mana suami kemalangan dan ketika itu dia baru saja sebulan bernikah kali kedua. Jika tidak kerana kemalangan tersebut mungkin seumur hidup saya akan tertipu. Hancurnya hati saya, apabila mengetahui suami yang saya percayai dan juga sayangi melakukan perkara begini kepada saya.

Untuk makluman, suami sebenarnya seorang yang baik, penyayang kepada saya dan anakanak. Sukar untuk saya mempercayai dia melakukan perbuatan ini. Selepas terbongkar rahsia itu, suami begitu menyesal di atas apa yang telah terjadi. Dia berjanji akan memperbaiki keadaan dan akan sanggup berbuat apa saja asalkan tidak kehilangan saya dan anak-anak.

Sementara, saya pula tidak sanggup hidup bermadu tetapi apa yang saya dapat tahu suami saya sukar juga melepaskan perempuan itu. Terus terang saya katakan saya tidak dapat menerima perbuatan suami yang pernah menyentuh perempuan lain. Dek tekanan yang saya lalui dan alami, saya telah melakukan satu kesalahan besar dalam hidup. Saya telah menghubungi semula bekas kekasih saya.

Dari situ terjadilah perkara yang tidak diingini. Saya berzina dengan dia semata-mata kerana ingin membalas dendam terhadap suami walaupun kekasih sebenarnya tidak mengetahui niat saya itu. Ketika itu saya hilang pertimbangan dan merasakan, jika suami boleh buat, saya juga boleh melakukannya.

Puan kaunselor, sesungguhnya kini saya merasa sangat bersalah dan rasa berdosa sangat kepada Allah dan suami sendiri. Saya menyesal dengan apa yang telah saya lakukan. Saya ingin hidup bahagia dengan suami dan anak-anak kami. Apa yang harus saya lakukan Puan? Perlukah saya berterus terang dengan suami? Saya takut kehilangan dirinya kerana kami masing-masing sudah berjanji akan mulakan hidup baru? Perlukah saya mempercayai kata-kata suami saya lagi? Masih adakah pintu taubat untuk saya puan. Ini kali pertama saya melakukan perkara terkutuk ini.

Tolonglah bantu saya untuk mencari jalan penyelesaiannya!.

0 comments on "Berzina Demi Balas Dendam Terhadap Suami"

 

SENSA AYUZIP Copyright 2008 Shoppaholic Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez